Thursday 4 February 2010

Hati Ini Milik Dia

Bismillahirrahmanirrahim.

Allahumma YaAllah, Ya Latif, Ya Rahim.

Sesungguhnya hidup ini, pasti akan berakhir dengan suatu kebahagiaan yang hakiki jika hidup ini lebih mendekatkan diri pada Allah SWT. Atas segala apa yang manusia inginkan, manusia hajatkan Allah sentiasa memberi peluang dan ruang untuk kita merasainya dengan syarat manusia itu berusaha.

YaAllah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Tempat Aku Mengadu dan Memohon Pertolongan. Andai aku ini ditakdirkan untuk menjadi manusia yang perlu berusaha keras, Engkau bantulah aku dalam usaha aku berusaha keras itu Ya Allah. Aku memohon kesederhanaan hati pada Mu agar sentiasa hadir dalam diriku ini. Aku tidak pernah meminta pada diri ini untuk berjaya dalam sekelip mata, hanya aku meminta agar aku dipermudahkan dalam usaha aku ingin berjaya.

YaAllah, aku sentiasa melakukan dosa kepadaMu, ampunkanlah dosaku YaAllah. Ketika aku menulis ini adalah perasaan aku berpegang padaMu YaAllah. Didiklah hatiku ini, lembutkanlah hatiku ini agar sentiasa diberi ketenangan hati yang berpanjangan walaupun diuji dan diduga. Semakin aku melalui kehidupan ini, semakin aku memahami kehidupan ini dan tujuan hidup sebenar YaAllah. Aku tidak mahukan harta yang boleh melalaikan diriku. Berilah hidayah dan cahaya keimanan kepadaku agar aku dapat menjadi mukmin yang sejati. Mukmin yang hatinya sentiasa bersama Allah SWT setiap saat dan setiap perbuatan. Jangan sesekali fikiran aku ini terlupa kepadamu walaupun sesaat, itu sudah cukup membuatkan aku bahagia. Aku bertuah kerana dilahirkan sebagai orang Islam dan bertuhan. Alhamdulillah, nikmat hidup dalam Islam ini sungguh indah. Engkau temukanlah aku dengan rentak hidupku. Jika Engkau berikan aku peluang untuk merasai kejayaan, berikanlah kejayaan yang aku rasai itu sebagai kejayaan yang boleh aku berjalan di jalanMu. Andai kejayaan itu dapat melalaikan aku, lebih baik Engkau jauhkan hatiku untuk mencapainya YaAllah. Aku ini mengimpikan kejayaan hati, dan kejayaan yang lebih bermakna adalah kejayaan yang diiringi keberkatan daripadaMu, kerana aku tidak ingin melihat keturunan aku merasai tempias kejayaanku yang tanpa keberkatan.

Sesungguhnya YaAllah, sungguh indah jika hidup ini aku hanya bertuhankan Allah SWT tanpa sedikit dosa. Namun, aku adalah "insan" yang sentiasa alpa. Ampunkanlah dosaku, berikanlah keberkatan dalam hidupku, tempatkanlah kedua ibu bapaku di tempat tertinggi di syurgaMu, nenek dan adik beradikku, guru-guruku, sahabat-sahabatku dan juga seluruh umat Islam. YaAllah Ya Tuhanku, temukanlah aku insan yang mendidik diri ini dan membimbing aku pada jalanMu, kerana itu yang aku cari untuk kehidupanku. Semoga dalam aku menelusuri hidup ini penuh kesederhanaan hati dan ketenangan, keredhaan dan juga tawakkal. Perkara yang membahagiakan adalah setiap saat hatiku tidak lupa pada Mu Tuhan. Kadangkala aku rebah, tapi, aku bangkit kerana aku percaya aku ada Tuhan yang sentiasa bersamaku jika aku lemah. Tidak mampu kuungkapkan kerana kecintaan pada Tuhan itu adalah segalanya. Aku percaya, jika cinta kepada Tuhan melebihi segalanya, aku akan dipertemukan dengan manusia yang mencintai Tuhan juga kelak dua perasaan itu akan membantu kami di syurga Mu kelak. Aku ingin menjadi anak yang berjasa kepada kedua ibu bapaku, kerana aku ini anak yang beribu dan berbapa dan mereka perlu dihargai. Aku bersyukur apa yang Engkau anugerahkan kepadaku. Didiklah hatiku menjadi manusia yang rendah hati, beriman kepadaMu. Ameen, Ameen YaAllah!

Indahnya hidup ini jika setiap saat hati adalah milik Allah dan aku memohon agar diperpanjangkan selamanya perasaan ini. Ameen Yarabbal A'lameen..........!