Sunday 29 November 2009

Aku Yang Merasa

Assalamualaikum. Tajuk aku yang merasa adalah sempena dengan bait-bait diri ini dengar ketika ingin menulis. Maka, tajuk ini amat sesuai untuk entri kali ini. Alhamdulillah atas nikmat yang diberikan dan rezeki yang diberikan walaupun dengan kadar yang sederhana. Sekurang-kurangnya diri ini masih dapat meneguk air teh yang bergula berbanding insan-insan lain yang lebih dhaif.

Perhitungan waktu.

Sedar tidak sedar cuma sebulan sahaja lagi bakal menjengah tahun 2010. Bermakna diri ini akan menginjak usia 24 tahun. Benarkah?Terasa masih kecil, dan masih lagi sweet 19. Walhal masa itu sudah berganjak pergi. Jadi, ada apa dengan waktu? Banyak persoalan dan permainan, perhitungan, perancangan dan pelaksanaan ketika ini dalam menghadapi tahun 2010 / masa depan. Terasa seperti kilat yang menyambar, begitu juga dengan masa yang cepat berlalu. Tidak sempat untuk diingat apa yang berlaku sebelum-sebelum ini dan sekecil-kecil aktiviti yang dilakukan juga tidak sempat untuk diingat. Maklumlah, diari aktiviti hari-hari sebelum ini tidak diperincikan. Namun, kerana masa juga telah banyak mendewasakan diri ini. Ayahanda juga telah sebulan lebih kembali kepadanya. Tanggal 12 Oktober 2009, jam 5-6 pagi telah berlalu. Siapa sangka untuk ayahanda pergi menghadap Illahi lebih awal. Perginya secara mengejut, hilangnya tiada ganti. Semoga ayahandaku Mohd Basri Bin Othman ditempatkan di syurga nan indah di sana. Sepanjang kehidupannya seorang yang pemurah, mengasihani, tidak pernah mengatakan cerca orang dan tidak berkira dan amat mengambil berat pada anak-anak. Terima Kasih. Kehilangannya memberi kesan mendalam pada diri ini. Belum sempat untuk ayahanda melihat diri ini berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan juga PhD. Belum sempat untuk ayahanda melihat diri ini berjaya, berkeluarga, belum sempat untuk ayahanda melihat diri ini berkerjaya, belum sempat untuk ayahanda melihat generasi-generasi yang diri ini bakal lahirkan. Belum sempat untuk segalanya kerana Tuhan lebih menyayangi diri ayahanda Mohd Basri. Sebak ketika ini, air mata mengalir laju. Terhenjut-henjut bahu menahan sebak. Semuanya kerana waktu. Mungkin blog ini adalah teman untuk meluahkan apa yang dirasai dalam hati ini. Apa yang bermain dalam fikiran ini, hidup perlu diteruskan dan diri ini akan membanggakan kedua ibu bapaku. Diri ini mengerti, kenapa diri ini berada dalam bidang ini, selaras dengan minat dan juga keinginan diri ini, malah arwah ayahanda juga pernah menyatakan doanya untuk diri ini bergelar seseorang dalam bidang kaunseling kelak. Puncanya?Arwah ayahanda sangat rapat dengan rakannya yang juga sebagai seorang kaunselor di hospital. Ketika di semester 5, ayahanda pernah menyatakan agar diri ini menyambung peringkat master/ sarjana setelah tamat degree kelak. Kerana masa, semua ini akan dicapai jika Tuhan masih membenarkan diri ini menghirup O2.

Kerana masa, diri ini banyak berdikari dalam mencapai kehendak dan keinginan. Mungkin didikan dan pengalaman dalam hidup ini yang banyak mendewasakan diri ini. Kerana masa, ayahanda Mohd Basri bin Othman iaitu seorang yang gemar menulis bercita-cita diri ini menjadi seorang penulis kelak. Karangan yang diri ini pernah tulis disimpan oleh arwah ayahanda. Diri ini terjumpa dalam diari ayahanda dan terjumpa karangan ketika diri ini menulis ketika kecil dahulu. Ayahanda aku ini seorang yang sangat hebat orangnya. Seorang yang mempunyai instinct/naluri yang amat kuat. Apa yang aku fikirkan, arwah boleh mengagaknya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, namun tidak ayahanda Mohd Basri Bin Othman. Suatu ketika dijulang, suatu ketika diri ayahanda disisihkan. Segalanya kerana peredaran masa yang berlalu. Semua ini menjadi pemerhatian, pengajaran kepada anakanda. Tanda kasih anakanda pada ayahanda ialah anakanda akan memegang amanah untuk menjaga diri ini agar menjadi manusia yang berguna. Biarlah ayahanda pergi dengan keadaan ini, dan ramai yang menyesal kerana tidak berbuat baik pada ayahanda ketika ayahandaku sakit. Kerana masa, diri ini pernah membasuh baju dan pakaian ayahanda ketika di tingkatan empat dan memasak untuk ayahanda makan itu sudah menjadi kebiasaan. Kerana masa, ayahanda sangat memewahkan diri ini sebelum berlakunya perpisahan dengan ibu diri ini. Arwah ayahanda suka menulis, dan suka membaca. Diri ini masih ingat ketika ayahanda keseorangan, diri ini pernah membasuh najis ayahanda di rumah tempat ayahanda tinggal. Seingat diri ini, ketika itu ayahanda berusia 42 tahun. Ayahanda marah-marah ketika itu walaupun sedang sakit. Namun, hati ini kuat mengatakan dia itu ayah diri ini. Tidak mengapa walaupun ketika itu diri ini takut dimarahi. Kedua-dua adik yang ketika itu tidak berani mendekati ayahanda ketika ayahanda sedang marah. Namun, hati ini kuatkan semangat. Jasa ayahanda perlu diingat, kerana banyak yang ayahanda korbankan demi melihat kesenangan anak-anak suatu ketika dahulu. Ketika di alam persekolahan, diri ini agak lupa diri dengan kesenangan. Masih ingat lagi, diri ini minta RM 200, ayahanda dengan mudah-mudah berikan. Pulak tu, diberi lebih lagi. Mahu pakai motosikal ketika tingkatan tiga, ayahanda belikan...Macam-macam kerenah diri ini ketika dahulu. Sungguh mengada-ngada. Kelak, anakanda ada generasi, anakanda tidak akan mudah-mudah senangkan mereka kelak, cukuplah sekadar bersederhana dan biar mereka tahu menghargai. Apa yang berlaku, diri ini hanya mampu mengucapkan terima kasih atas apa yang ayahanda berikan dan kasih sayang ayahanda pada diri ini. Namun, diri ini tidak sempat memberikan apa-apa untuk diri ayahanda, tidak sempat menyara dan tidak sempat ayahanda merasa wang daripada anakanda ini. Cuma, anakanda sedar, keinginan besar yang tidak ayahanda capai, diri ini akan ke arah itu. Anakanda akan capai dan berusaha untuk ke arah cita-cita ayahanda itu. Diri ini sedar ayahanda dahulu walaupun SPM pangkat 1, ayahanda tidak berpeluang ke arah itu kerana kemiskinan ayahanda. Tidak mengapa, anakanda akan tebus kelak.

Ayahanda ingin melihat anakanda menjadi seorang penulis juga anakanda akan warisinya, kerana anakanda sedar anakanda punyai bakat seperti ayahanda. Doakan dari jauh ayahanda. Ketika anakanda berada di semester 1, anakanda demam, ayahanda dapat tahu, anakanda tidak ada duit, ayahanda hantar, kerana anakanda tahu, ayahanda punyai naluri yang kuat dengan anakanda ini. Terima Kasih ayahanda. Kerana masa, anakanda akan berusaha mencapai cita-cita besar ini dan menjadi seorang manusia yang berpelajaran tinggi. Doakan anakanda dari jauh. Yang pasti, setiap kata-kata ayahanda adalah emas, setiap butiran apa yang terkeluar dari bibir ayahanda semuanya akan menjadi realiti. Tidak pernah menjadi angan-angan pun. Terima kasih ayahanda MOHD BASRI BIN OTHMAN. Masa untuk anakanda meraih kejayaan akan digarap dengan keazaman yang kuat. InsyaALLAH. Tuhan bantulah aku dalam mencapai cita-citaku. Bantulah aku untuk pergi sejauh yang mungkin dalam mencari ilmuMu, murahkanlah rezeki pada diri ini, pimpinlah aku pada jalanMU, temukanlah aku dengan bakal suami yang beragama, elok budi pekerti, bersederhana dan berilmu kelak. Jauhkanlah aku dari kekejian, jauhkanlah aku dari fitnah, hasad dengki, riak dan takbur. Ampunkanlah dosaku yang sentiasa aku terbabas. Ampunkanlah YAALLAH. Tempatkanlah ibu bapaku di syurgamu, datuk dan nenekku di syurgaMu dan juga seluruh umat ISLAM.Ameen.

Melayan Perasaan

Sedar tidak sedar begitu panjang perenggan perhitungan waktu di atas. Diri ini melayan perasaan, mengumpul kekuatan. Diri ini akan melaksanakan beberapa agenda ketika cuti ini. Berikanlah fokus pada diri ini, kumpulkan tenaga dan jauhkanlah rasa kepenatan dan kebosanan terhadap kerja-kerja bakal dilakukan ini. Diri ini akan bekerjasama dengan seorang rakan dalam menghasilkan buku dengan bantuan seorang pensyarah kelak. Ya..buku bakal diri ini tulis dihasilkan...Buat permulaannya dengan bekerjasama dengan rakan...kerana inilah doa ayahandaku..aku temuinya...Kajian dan pembacaan amat penting untuk menghasilkannya..sebab itu diri ini tidak pulang...jika pulang..pastinya agenda lari kelak..Cuti ini juga, diri ini mengambil keputusan untuk bekerja. Semoga kelulusan untuk menjadi pembantu kepada pensyarahku ini diluluskan. Kasihanilah aku Tuhan...Niatku untuk mengumpul duit untuk praktikal nanti..dan menampung diri ini..Ya..kerana diri ini ingin berdikari...sudah malu untuk meminta dengan ibu di kampung..tidak mahu menyusahkan ibu...Malah, diri ini ingin memberi ruang kepada diri ini untuk bersendiri...Malah, jika di sini senang untuk akses maklumat...senang pula untuk berhubung kerana jika ada novel yang ingin penulis anakanda edit, dapat juga memberi pendapatan pada anakanda. Memang, diri ini murah rezeki kerana diri ini percaya diri ini tidak akan mati kelaparan. Itu pegangan yang sentiasa tersemat dalam diri ini. Rasanya cukuplah coretan untuk kali ini.

"Aku hadir dalam kesederhanaan hati, aku hadir dengan jiwa yang kental, aku hadir kerana ingin menjadi seseorang kelak, aku hadir kerana aku ingin memberi khidmat pada manusia lain yang memerlukan bantuan aku juga kelak. Kerana, susah senang, aku pernah merasainya. Hakikat rasa, hanya orang itu sahaja yang merasainya. SUBHANALLAH, ALLAH YANG MAHA AGUNG...! Biarlah bulan bicara sendiri, biarlah bintangkan menjadi saksi. Cukup derita sampai di sini. Aku berhak mencapai kesenangan dengan usahaku ini dan kurniaan Allah." Sesungguhnya aku menghargai apa yang telah berlaku dalam hidup ini. Kerana masa lalu menjadikan aku hari ini.

Sekian.

No comments: